Anwar mohon hakim tarik diri
Mohamad Zabidin didakwa berat sebelah kerana tolak bantahan terhadap artikel, gambar dalam Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengemukakan notis usul bagi mendapatkan perintah supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya.
Notis itu difailkan Anwar berikutan keputusan Mohamad Zabidin menolak bantahannya berhubung artikel, gambar dan keterangan gambar mengenai kes berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia, minggu lalu.
“Saya dengan ini menyatakan keputusan hakim menolak bantahan saya berhubung artikel, gambar berserta keterangan dalam gambar itu membawa kepada elemen berat sebelah dan menyimpang daripada standard keadilan sama rata yang dituntut undang-undang.
“Saya dengan hormatnya memohon hakim perbicaraan yang bijaksana sepatutnya menarik diri daripada mendengar perbicaraan saya seterusnya, dan saya berhak kepada satu perbicaraan adil selaras dengan peruntukan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Notis itu difailkan Anwar di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, kira-kira sejam sebelum prosiding pemeriksaan balas terhadap saksi pertama pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bermula pada jam 10 pagi.
Berikutan itu, perbicaraan yang masuk hari keempat semalam ditangguhkan dan Mohamad Zabidin menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan itu bersama hujah balas oleh pihak pendakwaan sebelum membuat keputusannya.
Sebaik prosiding bermula pada jam 10 pagi, peguam Anwar, Karpal Singh memaklumkan pihaknya memfailkan notis permohonan itu bersama dengan afidavit yang diikrarkan Anwar pada jam 9 pagi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Karpal meminta permohonan itu didengar dulu sebelum sesi pemeriksaan balas saksi oleh pihak pembelaan diteruskan.
“Ini adalah satu perkara yang serius dan bukan untuk dijadikan bahan ketawa. Ia bukan taktik untuk melengah-lengahkan perbicaraan ini,” katanya.
Dalam permohonan itu, Anwar turut mendakwa Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, menyedari bahawa keputusan hakim menolak permohonannya untuk mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia adalah silap.
Melalui afidavit yang diikrarkannya, Anwar berkata, dalam penerbitan bertarikh 4 Februari lalu, Utusan Malaysia menerbitkan di muka surat hadapan satu artikel di bawah tajuk berwarna kuning atas latar belakang merangkumi setengah muka surat “Tak Rela Diliwat Lagi”.
Beliau berkata, ia juga disertai dengan gambar beliau dan pengadu, Mohd Saiful di tepi satu sama lain dan satu lagi tajuk artikel di muka surat tiga akhbar berkenaan yang berbunyi “Berhenti Kerana Tidak Mahu Diliwat Lagi”.
Katanya, Karpal memohon supaya mahkamah mengenakan perintah menghina mahkamah terhadap akhbar Utusan Malaysia, tetapi Mohamad Zabidin menolak permohonan itu atas alasan ia tidak dilakukan di hadapan mahkamah dan tidak diterbitkan dengan niat jahat.
“Pada 5 Februari, Utusan Malaysia sekali lagi menerbitkan di muka surat hadapannya satu gambar dengan keterangan ‘Mohd Saiful menunjukkan katil di bilik tidur utama tempat beliau mendakwa diliwat Anwar kepada Mohamad Zabidin ketika melawat kondominium Seri Damansara, tempat kesalahan itu didakwa dilakukan.’
“Peguam saya memohon hakim memberi amaran kepada Utusan Malaysia dan menekankan keterangan gambar itu merujuk kepada katil dan bukannya tempat di mana kesalahan itu dikatakan berlaku.
“Oleh yang demikian keterangan gambar itu adalah tidak tepat yang juga merujuk kepada prosiding yang sudah diadakan secara tertutup. Mohd Yusof membantah permohonan peguam saya itu,” katanya.
Anwar berkata, Mohamad Zabidin tidak memberi amaran kepada akhbar berkenaan dan pihaknya terkejut apabila hakim memutuskan bahawa keterangan mengenai katil itu sudah dikemukakan di mahkamah pada hari sebelumnya.
Katanya, keputusan hakim itu tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku di mahkamah terbuka atau di dalam nota prosiding sama ada secara bertulis atau di dalam bentuk audio.
“Apabila hakim menangguhkan ke kamarnya selepas membuat keputusan berkenaan, Mohd Yusof di dalam mahkamah terbuka dan di dalam pendengaran saya cuba memujuk peguam saya untuk berjumpa hakim bagi mengetepikan keputusan itu dan memberi amaran kepada Utusan Malaysia.
“Peguam saya menolak permintaan Mohd Yusof yang nampaknya kurang selesa dan khuatir kerana pada asalnya membantah permohonan untuk memberi amaran kepada akhbar berkenaan.
“Reaksi Mohd Yusof itu dengan jelasnya menunjukkan satu kesimpulan saja iaitu hakim sudah tersilap di dalam keputusannya,” katanya.
..sumber berita harian
No comments:
Post a Comment