Keputusan sebulat suara itu (5-0) dibacakan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria.
Selain Ariffin, keputusan menolak rayuan Mohammad Nizar itu disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Dalam penghakiman itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain Nizar hilang jawatan Menteri Besar Perak sebaik saja dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Adun DAP keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional.
Ariffin berkata, tidak wujud dua Menteri Besar Perak ketika itu seperti yang didakwa Nizar kerana pelantikan Zambry dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, berpuashati dengan sokongan semua Adun BN dan tiga Adun Bebas yang memberi kepercayaan kepada Zambry sebagai Menteri Besar.
Berhubung undi tidak percaya yang didakwa Mohammad Nizar perlu dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ariffin berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan penghakiman Mahkmah Rayuan sebelum ini bahawa sokongan boleh diperolehi tanpa perlu diadakan sidang DUN.
Katanya, begitu juga jika hari ini Mohammad Nizar mempunyai sokongan majoriti, beliau boleh mengadap Sultan Perak mengemukakan bukti mendapat sokongan untuk dilantik menjadi Menteri Besar.
Panel hakim itu telah menangguhkan penghakimannya pada 5 November tahun lalu setelah selesai mendengar hujah peguam yang mewakili Dr Zambry dan Mohammad Nizar dalam kes berkenaan.
Rayuan itu dibuat Mohammad Nizar dalam cubaan terakhirnya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, pada 4 Februari 2009 menitahkan Adun Pasir Panjang itu melepaskan jawatan selepas mendapati beliau tidak memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
Pada Mei tahun lalu, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut perlembagaan
..sumber utusan
No comments:
Post a Comment